Pengunjung Budiman

Friday, 25 February 2011

Hilang Kawan kerana politik kampus? Apa ke bodohnya situasi itu.

Mengapa sampai putus kawan, sampai muka masing-masing masam mencuka. Perlukah dek perbezaan pendapat dan pegangan politik, maka semuanya yang sebelum ini manis berubah menjadi cuka?

Kebodohan tahap tertinggi bertaraf Presiden bagi penyakit hati. Hatinya kotor ibarat hitamnya kaim putih tercemar dengan minyak hitam motor. Dicuci sebanyak yang mungkin bagi hilangkan kekotoran, maka akhirnya hati itu masih tetap sama. Harus diakui, penyakit hati punca barah perpaduan masyarakat hari ini. Keutuhan dan kekuatan hancur hanya berpunca dari kekotoran hati.

Mengapa saya kata satu kebodohan?

Bila bicara soal politik kampus dan ditumpukan pula hanya pada kampus UPSI, untuk dinyatakan bahawa politik di sini satu politik yang cukup serius perlulah disangkal. Bukan ingin saya nyatakan bahawa politik di UPSI tiada signifikan, namun kekuatannya tidaklah sehebat politik di UM, UKM, UPM, UTM, atau di UIA. Politik suam-suam kuku, dan politik yang ibarat hidup segan mati tak mahu, maka itulah politik UPSI.

Kepimpinan lesu Pimpinan Bitara yang langsung tidak menunjukkan sebarang sumbangan ternyata mengecewakan sesetengah pelajar. Ibarat syok sendiri, maka akhirnya mereka tersungkur di medan PRK 2011. Hakikatnya, pelajar-pelajar universiti lain menganggap politik di UPSI di bawah kepimpinan Pimpinan Bitara hanya memaparkan sisi kebodohan Pro-Aspirasi. Tiada kematangan, dan seolah-olah kebudak-budakan.

Mahasiswa Pendidik pula muncul bergabung bersama Legasi Mahasiswa Progresif. Isu terhangat pastinya difokuskan kepada Adam Adli yang dikenakan tindakan larangan untuk bertanding bagi pilihanraya kampus kali ini. Ibarat seperti situasi Anwar Ibrahim, kemarahan penyokong Adam Adli telah mencetuskan satu gelombang baru yang seterusnya memaparkan kejahatan dan kebusukan tindakan pihak lawan. Itulah yang dinyatakan oleh Adam Adli.

Hakikatnya, Mahasiswa Pendidik meletakkan kekuatannya pada pemimpin yang kuat latar belakang agamanya, malah mendapat sokongan majoriti pelajar-pelajar yang berlatar belakang agama yang kuat (ahli-ahli Rakan Surau, ahli-ahli RPA, pelajar Pendidikan Islam, pelajar Bahasa Arab). Kekuatan yang disandarkan ini akhirnya terserlah apabila mencipta satu kejutan dengan memenangi banyak kerusi bagi PRK kali  ini.

Namun, 'parti-parti menyibuk' pula muncul seperti Parti Cap Tapir, Smile, yang hakikatnya tidak jelas perjuangannya. Perjuangan mereka dilihat hanya difokuskan pada pemimpin tertentu sahaja. Malah Smile sendiri membuat satu taktikal berani mati apabila tidak membentangkan sebarang manifesto. 

Saya simpulkan parti Smile ini ibarat parti yang bongkak, dan agak samar arah tujunya. Tak tahu apa yang diperjuangkan, hanya sekadar kenyataan kononnya merendah diri nyatakan "Pilihlah saya jika anda fikir saya layak..."

Penyibuk-penyibuk parti-parti kecil inilah yang merosakkan kesabaran pelajar. Sokongan padu diberikan pada MP kali ini akhirnya ibarat air yang dicurahkan ke daun keladi. Tiada pemimpin MP yang berada di atas, manakala parti Smile pula diangkat sehingga dipilih menjadi YDP MPP yang baru. Dalam diam, akhirnya parti-parti kecil ini menyokong Pro-Aspirasi, sehingga menyebabkan sesetengah pelajar menyatakan bahawa parti Tapir dan Smile ini ibarat racun dan duri yang merbahaya.

Kesemua ini hanyalah tanggapan dan bicara yang saya dengar dari mulut-mulut yang aktif berbicara mengenai politik. Hakikatnya saya simpulkan kembali, sehangat PRK kali ini, akhirnya semua jadi sejuk semula. Kemudian apa yang berlaku ialah, MPP yang baru menyepi dek sibuknya dengan assignment yang diberi. Janji tinggal janji, dan pelajar UPSI kembali hidup seperti biasa.

Tanyalah dan buatlah kaji selidik. Tak ramai pelajar UPSI yang ambil tahu tentang politik kampus ini. Masing-masing pejamkan mata kerana tak mahu peningkan kepala.

Kerana itu saya nyatakan, amat bodohlah buat mereka yang mahu putuskan kawan dek perbezaan pandangan politik. Ingat, demokrasi tidak mengajar masyarakat untuk berpecah. Maka, ingatlah pula kembali kesatuan ummah, yang pada akhirnya akan mengukuhkan kembali perpaduan masyarakat.

Sokonglah parti mana pun, namun untuk putus kawan jangan sama sekali. 

Saya seorang yang melihat dari sudut neutral. Tidak berat atau condong pada mana-mana pihak. Penilaian saya adalah berdasarkan pengamatan dan kajian saya pada rakan-rakan dan kenalan saya. Maka, itulah yang saya sampaikan dalam tulisan ini.

Maka, nasihat saya, janganlah putus kawan hanya kerana beza pandangan politik. Sia-sia sahaja semua itu...

p/s: Mahasiswa Pendidik menang cipta kejutan, Pro-Aspirasi terkejut kalah, Smile terkejut bila pemimpinya diangkat jadi YDP MPP, pelajar pula terkejut bila walaupun MP yang menang, Pro-Aspirasi akhirnya masih berkuasa di peringkat tertinggi. Apa nak jadi? Semuanya terkejut......




4 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Situasi seperti ini biasa kerana emosi mampu mengatasi logik akal.

    ReplyDelete
  3. kenapa perlu mengkritik jika kita sendiri sukakn politik?

    ReplyDelete
  4. politik tak salah. org yg berada dlm politik itu menyebabkan politik itu jadi kotor...

    ReplyDelete